RM539 untuk Apple Smart Battery Case berbaloi atau tidak?

Bacaan : 5 minit

Pada 27 Februari 2020 saya membuat pembelian Apple Smart Battery Case berharga RM539 untuk model iPhone 11 Pro Max yang kini saya gunakan. Namun pembelian ini bukan satu pembelian yang dibuat secara melulu.

Pada tahun lepas sewaktu saya menggunakan iPhone 10s Max ada juga terdetik hati untuk mencuba Smart Battery Case ini namun masih belum dapat kekuatan untuk berbuat demikian. Alhamdulillah tahun ini ada sedikit rezeki lebih saya buat juga pembelian tersebut.

Apple Smart Battery Case dengan tanda harga RM539 bukanlah sesuatu yang murah. Ditambah saya merupakan seseorang yang kerap bertukar-tukar fon menjadikan pelaburan seperti ini semacam tidak harus dibuat.

Namun setelah beberapa bulan saya menggunakan Smart Battery Case daripada Apple ni segala-galanya berubah dan suka saya nyatakan bahawa pembelian ini sangatlah berbaloi dengan apa yang saya dapat. Pada hari pertama saya buat pembelian ada saya buat satu perkongsian di dalam Twitter dan pelbagai maklum balas yang saya terima.

Berikut merupakan fungsi dan perkara penting yang ada pada Smart Battery Case keluaran Apple yang tiada pada jenama lain dan pengalaman yang saya ingin kongsikan mengapa pembelian ini saya katakan berbaloi.

Teruskan pembacaan jika anda ada niat membuat pembelian dan saya harap pengalaman saya dapat membantu anda membuat pelaburan untuk aksesori ini.

Kapasiti

Kapasiti untuk Apple Smart Battery Case iPhone 11 Pro Max ini didatangkan dengan dua bateri berkapasiti 1,4350mAh menurut apa yang dilaporkan oleh MacRumors. Perincian ini walaubagaimanapun tidak diperincikan oleh pihak Apple.

‌iPhone‌ sahaja:

  • ‌iPhone 11‌ – Sehingga 17 jam tontonan video, sehingga 10 jam tontonan video atas talian, sehingga 65 jam memainkan audio.
  • ‌iPhone 11 Pro‌ – Sehingga 18 jam tontonan video, sehingga 11 jam tontonan video atas talian, sehingga 65 jam memainkan audio.
  • iPhone 11 Pro Max – Sehingga 20 jam tontonan video, sehingga 18 jam tontonan video atas talian, sehingga 80 jam memainkan audio.

‌iPhone‌ dengan Smartcase (jangkaan):

  • ‌iPhone 11‌ – Sehingga 25.5 jam tontonan video, sehingga 15 jam tontonan video atas talian, sehingga 97.5 jam memainkan audio.
  • ‌iPhone 11 Pro‌ – Sehingga 26 jam tontonan video, sehingga 16.5 jam tontonan video atas talian, sehingga 97.5 jam memainkan audio.
  • ‌iPhone 11 Pro Max‌ – Sehingga 30 jam tontonan video, sehingga 18 jam tontonan video atas talian, sehingga 120 jam memainkan audio.

Indikasi Peratusan Bateri

Untuk mengetahui tahap baki bateri yang terdapat pada Apple Smart Battery Case ini, tiada sebarang lampu atau skrin terdapat pada Smartcase ini, tetapi indikasi peratusannya tersedia dan diintegrasikan terus ke dalam iOS.

Berbanding dengan jenama lain dalam kategori yang sama perkara ini mustahil. Maka tidak hairanlah kenapa Apple memberikan nama aksesori mereka ini Smart Battery Case. Setakat hari ini fungsi ini tidak terdapat pada aksesori pihak ketiga yang lain. Besar kemungkinan Apple masih menyimpan dan tidak mahu fungsi ini digunakan oleh pihak ketiga yang lain.

Tabiat Pengecasan

Bagi penggunaan iPhone 11 Pro Max ini, dengan sekali pengecasan penuh saya mendapat penggunaan tanpa perlu cas bateri daripada 8 pagi hinggalah ke 11 malam atau 12 tengah malam bergantung penggunaan pada hari tersebut. Dengan penggunaan Smart Battery Case ini jangka hayat peratusan bateri saya dapat dipanjangkan dari 5 ke 6 jam tambahan (jangka hayat yang anda dapat mungkin berbeza dengan saya mengikut penggunaan iPhone anda).

Bagi saya, dengan adanya Smart Battery Case ini amat jarang sekali iPhone saya terpaksa dicas kerana saya individu yang sangat tidak suka mengecas fon terutamanya pada waktu-waktu puncak. Selalunya jika saya ada kesempatan dan Smart Battery Case sudah atau hampir kehabisan bateri, saya akan tanggalkannya dan biar Smart Battery Case tersebut dicas berasingan. Dalam masa yang sama saya masih dapat menggunakan fon saya untuk aktiviti seharian.

Sekiranya Smart Battery Case ini dicas secara bersendirian, di bahagian dalamnya ada satu lampu indikasi. Warna jingga sekiranya Smart Battery Case anda dalam mod pengecasan dan belum penuh, manakala hijau apabila peratusan bateri Smart Battery Case mencapai 100%.

Fungsi Tambahan

Di bahagian bawah kanan Smart Battery Case ini juga terdapat satu butang khas dimana apabila ditekan akan mengaktikan aplikasi kamera di dalam iPhone anda. Dalam masa yang sama butang ni juga boleh digunakan sebagai shutter untuk menangkap gambar. Amat berguna untuk individu yang kerap menangkap gambar.

Fungsi ini sebenarnya baru diperkenalkan dan sebelum ini tidak ada dalam generasi sebelumnya bagi model-model terdahulu.

Saya amat berharap di masa hadapan pihak Apple membenarkan pengguna untuk menyesuaikan dan mengubah fungsi butang ini mengikut citarasa pengguna tersebut, misalnya apabila ditekan butang tersebut mod lampu picit diaktifkan dan sebagainya. Perkara ini secara tidak lansung memberikan lebih ciri tambahan dan sesuai dengan nilai yang dibayar oleh pengguna untuk Smart Battery Case Apple ini.

Jika anda pengguna iPhone Xs Max, model yang saya gunakan ini boleh digunakan juga dengan iPhone anda. Jika anda bercadang membuat pembelian Smart Battery Case bagi model iPhone Xs Max, fungsi butang tambahan ini tidak ada seperti yang telah saya nyatakan di atas.

Keserasian

Umum sedia maklum iPhone 11 Pro Max adalah fon yang bersaiz besar. Ditambah pula dengan Smart Battery Case ini akan membuatkan fon ini lebih besar dan kurang selesa dipegang. Namun bagi saya yang mempunyai saiz tangan yang agak besar, perkara ini bukanlah sesuatu masalah yang besar.

Faktor ini harus anda ambil kira sekiranya berniat membeli aksesori ini. Namun bagi saya dengan ciri dan jangka hayat bateri yang diberikan faktor ini kurang merisaukan saya.

Ada kalanya apabila saya membuka aksesori ini untuk dicas secara berasingan dan saya meneruskan menggunakan fon saya tanpa aksesori ini memberikan saya rasa yang sangat puas memegang fon ini dan merasakan betapa nipisnya fon ini.

Kesihatan Bateri

Kerap saya lihat di media sosial menyatakan bahawa pengecasan berterusan iPhone mungkin merosakkan tahap kesihatan iPhone anda. Namun setelah saya menggunakan Smart Battery Case hampir 3 bulan, di dalam tetapan iOS iPhone saya masih menunjukkan tahap kesihatan bateri berada pada paras 97%.

Mungkin terlalu awal untuk saya menuntaskan perkara ini dan tidak banyak perkongsian tentang perkara ini daripada pengguna Smart Battery Case yang saya jumpa di laman sesawang. Mungkin setelah genap setahun saya akan membuat perkongsian lagi tentang perkara ini.

Kesimpulan

Bagi saya Apple Smart Battery Case ini amatlah membantu saya dalam rutin seharian saya yang amat padat dan iPhone saya dapat digunakan sepenuhnya seharian. Namun jika anda yang tidak suka jika iPhone anda berasa tebal, aksesori ini bukanlah untuk anda.

Langgan berita kami

0 Shares
Share via
Copy link
Powered by Social Snap