Cold Pursuit – Filem Komedi Gelap Terbaik Akhir-Akhir Ini

Umum mengetahui terdapat beberapa pelakon filem aksi legenda Holywood yang tidak boleh disentuh dari segi reputasinya. Mereka telah mencapai satu status di mana meme-meme di internet selalu mengagong-agongkan kehebatan mereka. Antaranya adalah Chuck Norris, Liam Neeson dan mungkin juga Van Damme serta Keanu Reeves(John Wick). Jadi apabila dikhabarkan pelakon siri filem Taken, Liam Neesan akan tampil dengan filem baharu bertajuk Cold Pursuit, umum mengetahui apa yang boleh diharapkan dari filem tersebut (aksi yang tiada tandingan). Benarkah begitu? Kami sempat menonton filem Cold Pursuit dan di sini kami kongsikan pendapat kami mengenai filem tersebut.

Cold Pursuit – Filem Komedi Gelap Terbaik Akhir-Akhir Ini

Filem Cold Pursuit sebenarnya adalah adaptasi bahasa Inggeris bagi sebuah filem Norway bertajuk “In Order of Disappearance” yang diterbitkan pada tahun 2014. Ia mengisahkan Nels Coxman yang bekerja sebagai pemandu mesin pengalih salji di sebuah bandar resort ski bernama Kehoe. Satu hari, anaknya ditemui mati disebabkan terlebih dos dadah. Anehnya, anaknya itu, Kyle tidak menagih dadah.

Setelah mendapat tahu ini semua angkara sindiket dadah, beliau pantas pergi menyiasat. Apakah beliau akan menemui pembunuh anaknya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Pertama sekali yang perlu kami katakan mengenai filem ini ialah ia bukan seperti apa yang kami jangkakan. Kami jangkakan ia sebuah filem aksi menyeluruh seperti filem Taken, namun jangkaan kami sedikit meleset, tetapi meleset dengan cara yang menggembirakan kami secara peribadi. Tidak dinafikan filem ini mempunyai babak-babak aksiya, walaupun tidak berapa banyak, tetapi tidak dapat disangkal bahawa genre filem ini adalah filem komedi gelap (dark comedy).

Bagi mereka yang tidak biasa dengan genre ini, komedi gelap menghidangkan sejenis komedi yang unik di mana situasi yang lucu dalamnya adalah situasi yang sepatutnya penonton tidak gelak kerana ia kejam. Sebagai contoh, satu situasi di mana watak itu mati dalam keadaan yang ironi dan agak lucu, tapi pada masa yang sama, penonton tidak sepatutnya gelakkan kematian orang. Beginilah situasinya dalam filem Cold Pursuit.

Satu lagi ciri pada filem ini adalah jalan ceritanya berkembang dengan teramatlah perlahan. Sangat perlahan sehinggakan kedengaran dengkuran yang maha hebat di dalam panggung wayang. Serious! Tetapi filem diolah sebegitu rupa ada sebabnya. Pengarah mahukan penonton menghayati watak-watak dan situasi ironi yang ditampilkan dalam filem ini kerana di situlah letaknya kehebatan filem ini. Segala kesabaran dan tumpuan perhatian kepada jalan cerita serta watak-wataknya akan dibalas dalam babak epik terakhir filem ini. Ketika itu satu rasa puas hati akan hadir kepada penonton yang mengikuti jalan cerita dari awal, walaupun ia berkembang dengan amat perlahan.

Bercakap mengenai jalan ceritanya, filem ini bertemakan hubungan bapa-anak dalam tiga keluarga berbeza. Dipenuhi dengan ironi dan karakter yang unik. Cara penyampaiannya juga sangat unik dan memberikan filem ini satu karakter yang lain dari lain. Pengolahan sebegini jarang dilihat dalam filem Amerika. Tidak mengejutkan kerana filem ini dibikin oleh Studiocanal dari Eropah.

Jadi, awal-awal kami katakan, filem ini bukan untuk orang yang kurang tahap kesabarannya. Sebaliknya akan memberi kepuasan kepada mereka yang sabar dan menghayati jalan cerita filem. Penonton samada akan membencinya 100% atau menyukainya 100%, tiada ditengah-tengah.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan pengolahan yang unik serta bijak
  • Kesudahan filem yang epik dan memuaskan hati

Negatif

  • Jalan cerita teramatlah perlahan
  • Siapa yang tidak berjaya menghayati jalan cerita dari awal, tidak akan merasa puas hati di penghujungnya

Kesimpulan

Filem Cold Pursuit adalah sebuah filem yang ringkas tapi mendalam. Ia sebuah filem untuk orang yang berfikir. Banyak bahagian jalan ceritanya diterangkan cukup-cukup sahaja untuk memberi ruang kepada penonton membuat interpretasi sendiri mengenai babak-babak dan perasaan watak-watak dalam filem ini. Itu antara ciri-ciri yang membuatkan filem ini menghiburkan. Namun, kami tahu, ia bukan untuk semua orang. Jika anda seorang yang suka berimajinasi dan berfikir, filem ini akan memberi kepuasan kepada anda, tetapi jika anda mengharapkan filem ini menerangkan setiap inci jalan ceritanya, filem ini bukan untuk anda. Lagipun, kekuatan filem ini ada pada apa yang tidak diceritakannya. Walaupun kami beri rating rendah pada filem ini, kami tetap merekomen anda menontonnya, jika anda memenuhi ciri penonton yang kami terangkan di atas.

Penilaian: 6/10

IMDB

Artikel Cold Pursuit – Filem Komedi Gelap Terbaik Akhir-Akhir Ini muncul pertama kali di WayangKini.

8 Shares
Share via
Copy link
Powered by Social Snap