Samsung Galaxy Fold akan masuk pasaran Malaysia

Galaxy Fold ialah telefon pintar pertama dari Samsung dengan skrin boleh lipat. Sewaktu pelancarannya di San Francscico pada bulan Februari lepas, ia diumumkan akan mula dijual pada 26 April 2019.

Samsung Malaysia telah menghantar satu gambar petunjuk yang memperlihatkan telefon pintar Samsung Galaxy Fold, bersama tarikh 3 Mei 2019 dan masa 9.30 pagi. Tidak ada perkara lain dikongsi dalam perkhabaran ini.

Samsung Galaxy Fold
Samsung Galaxy Fold

Gambar ini mungkin merujuk kepada tarikh Galaxy Fold akan dilancarkan di Malaysia. Negara kita sering menjadi pilihan pertama pelancaran produk baru Samsung, jadi tidak mustahil telefon pintar serba canggih ini akan turut dijual di Malaysia.

Semasa dilancarkan, Galaxy Fold diumumkan berharga USD1,980 (~RM8,051). Di Amerika Syarikat, tempahan awal telah dibuka dan habis sekelip mata. Ia ditawarkan dalam empat warna iaitu Space Silver, Cosmos Black, Martian Green dan Astro Blue. Malah, warna engsel juga boleh dipilih.

Samsung Galaxy Fold
Samsung Galaxy Fold

Galaxy Fold memiliki skrin luar berukuran 4.7-inci. Apabila dilipat, ia memiliki kamera hadapan 10MP F2.2 dan kamera belakang tiga lensa seperti di Galaxy S10. Iaitu lensa ultra lebar 16MP F2.2, lensa lebar 12MP dwi apertur F1.5/F2.4 dan lensa telefoto 12MP F2.4.

Dari saiz sebuah telefon pintar, Galaxy Fold boleh dibuka lipatan tengahnya untuk akses ke skrin Infinity Flex berukuran 7.3-inci, seperti sebuah tablet. Ia turut memiliki kamera dwi lensa di dalam, lensa 10MP F2.2 dan lensa pengesan kedalaman RGB 8MP F1.9.

Telefon boleh lipat ini dilengkapi cip pemproses Exynos 9820, bersama RAM 12GB dan storan super pantas UFS3.0 seluas 512GB. Mungkin baterinya 4,380mAh terasa kecil, memandangkan ia memiliki dua skrin yang besar. Tetapi ia menyokong pengecasan pantas berwayar dan wayarles.

Adakah anda salah seorang yang sanggup menjadi pembeli terawal teknologi baru ini? Dari segi nilai ia sememangnya tidak berbaloi tetapi ia adalah pengorbanan yang perlu untuk menjadi pengguna teknologi terbaru.

Dipetik daripada Soya Cincau

13 Shares
Share via